Seorang lelaki rentung apabila keretanya jenis Proton Persona terbakar di persimpangan Jalan Medan Putra 1, Bandar Manjalara, awal pagi ini.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 1.17 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul R. Munusamy berkata semasa polis tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati sedang marak dan mangsa rentung di tempat duduk pemandu.


Katanya hasil semakan pada nombor enjin, kereta itu didaftarkan atas nama mangsa yang berumur 38 tahun dari Sungai Chua, Kajang.

"Kes setakat ini masih disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas Rodzlan Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu kira-kira 1.19 pagi.

Sebuah jentera bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan tiba 18 minit kemudian, katanya.