Lelaki rentung dihempap almari dalam kebakaran rumah

Noraniza Kamsani
Februari 21, 2019 11:44 MYT
Setelah pemeriksaan terhadap rumah terlibat dilakukan, hanya mayat Ching Hock yang berjaya ditemukan. - Foto JBPM
Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan enam buah rumah di Kampung Baru Triang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, Low Ching Hock ditemui dalam sebuah rumah yang musnah sepenuhnya.
Mangsa yang berusia 55 tahun itu dipercayai dihempap almari.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad, kejadian itu disedari oleh anggota bomba yang bertugas pada jam 10.47 malam.
Sebuah jentera pemadam (FRT) dengan lima anggota tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.
"Sampai di tempat kejadian, didapati api marak membakar sepenuhnya di rumah pertama dan orang awam memaklumkan ada dua mangsa terperangkap dalam satu daripada rumah terbakar.
“Bagaimanapun, api hanya dapat dikawal sepenuhnya pada jam 11.41 malam berikutan kekangan tekanan air rendah dan bekalan elektrik yang tidak dapat diputuskan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, setelah pemeriksaan terhadap rumah terlibat dilakukan, hanya mayat Ching Hock yang berjaya ditemukan.
Seorang lagi penghuni rumah berkenaan yang sebelum itu turut dilaporkan terperangkap, Low Chin Leong, 60 tahun, dipercayai berjaya menyelamatkan diri.
"Dalam kejadian itu, dua rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang terbabit dalam operasi berkenaan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.
Nor Hisham berkata, sembilan penghuni rumah berjaya diselamatkan dalam operasi membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Triang, 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kemayan, sembilan anggota BBP Bukit Angin,Temerloh dan lapan anggota polis serta tiga jentera pemadaman.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dua pegawai penyiasat kebakaran dari Ibu Pejabat JBPM Pahang dan seorang dari Zon 2 diarah melakukan penyiasatan," katanya
#almari #Bera #bomba #kebakaran #Nor Hisham Mohammad #rentung
;