Lelaki rebah tunggu anak maut akibat serangan jantung

Sinar Harian
Mei 14, 2023 11:35 MYT
Media semalam melaporkan, seorang bapa tiba-tiba rebah ketika mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di Tawang pada Sabtu. - Gambar fail/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang bapa yang tiba-tiba rebah ketika mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di Tawang, Bachok pada Sabtu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Perkara tersebut didedahkan isteri mangsa, Saripah Mansor, 39, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital.
Menceritakan semula detik cemas itu, Saripah berkata, semasa kejadian dia bersama arwah suami, Mohd Kamaruzaman Yusof, 45, sedang menunggu anak mereka pulang dari sekolah selepas selesai membeli barang dan kelengkapan untuk berniaga.
"Saya dan suami menunggu anak di dalam kereta kerana laluan masuk ke sekolah ketika itu agak sesak dengan kenderaan ibu bapa pelajar.
"Tiba-tiba suami mengalami kekejangan. Terkejut dengan kejadian itu, saya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terus keluar untuk mendapatkan bantuan. Secara kebetulan, kakak ipar berada di lokasi untuk mengambil anak sekolah," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Menurutnya, orang ramai yang berada di lokasi kemudian membantu mengusung suami ke kawasan surau yang terletak di hadapan kawasan sekolah.
Bagaimanapun, suaminya meninggal dunia selepas dibawa masuk ke kawasan surau sekolah sementara menunggu ambulans.
Saripah memberitahu, sebelum kejadian arwah suami tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali bercakap soal insurans.
"Arwah beritahu dia sudah mengambil insurans untuk dirinya dan saya. Suami cakap, kalau dia pergi dulu, guna duit insurans itu untuk bayar semua hutang dan baki buat belanja saya dan anak-anak.
"Saya tidak menyangka perkara itu menjadi 'pesanan' terakhir arwah sebelum meninggal dunia," katanya.
Jenazah Mohd Kamaruzaman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pok Joh, Tumpat pada jam 1 pagi.
Sinar Harian melaporkan, seorang bapa tiba-tiba rebah ketika mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di Tawang di sini pada Sabtu.
Mangsa, Mohd Kamaruzaman dikatakan mengalami kekejangan dan jatuh sebelum meninggal dunia kira-kira jam 2.06 petang. - Sinar Harian
#bapa maut #tragedi tunggu anak #sekolah #Bachok
;