Lelaki rebah, meninggal dunia ketika bermain badminton

Abd Razak Mohd Ali
Januari 14, 2022 16:38 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto ihsan PDRM
TAIPING: Seorang lelaki meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Badminton Kawasaki, Jalan Pokok Assam, Taman Raja Idris, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, Lim Thian Meng, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.50 malam.
“Lebih kurang 9 malam, pihak polis sampai di lokasi dan mendapati mayat seorang lelaki berbangsa Cina terbaring di lantai gelanggang badminton nombor 5, lengkap berpakaian sukan.
“Pemeriksaan tubuh badan tidak menemui sebarang tanda-tanda berunsurkan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Osman berkata, temubual dengan rakan-rakannya mengatakan mangsa datang untuk bermain badminton di dewan berkenaan jam 6.30 petang.
Menurutnya, kira-kira jam 8.30 malam, mangsa dikatakan telah tunduk untuk mengambil bulu tangkis sebelum diserahkan kepada rakan regu.
“Selepas itu si mati terus jatuh dan rebah serta tidak sedarkan diri. Salah seorang pemain yang berada di situ telah menelefon ambulans Hospital Taiping,” ujarnya.
Katanya, pihak ambulans tiba kira-kira jam 8.38 malam dan pemeriksaan oleh penolong pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurut Osman, temubual dengan kakaknya mengatakan mangsa tinggal bersama abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai penyakit darah tinggi.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat ujian saringan COVID-19.
#badminton #meninggal dunia #Lim Thian Meng #Polis Daerah Taiping #Dewan Badminton Kawasaki #SDR #kematian mengejut
;