Lelaki putus tangan kanan maut dalam kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2023 10:40 MYT
Januari 7, 2023 10:40 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 78.1 Lebuh Raya Utara-Selatan pagi ini.
Dalam kejadian jam 2.05 pagi itu, mangsa Ooi Boon Ping, 38 tahun, beralamat di Jalan Kilang Tebu Tongkang Yard, maut selepas mengalami kecederaan parah di badan selain putus tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kedua-dua kenderaan bergerak dari arah yang sama, iaitu selatan menghala ke utara.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu mangsa yang datang dari arah belakang, terlanggar bahagian belakang sebelah kiri Toyota Vios yang sedang bergerak di lorong kiri.
“Akibatnya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri, sebelum terbabas dan terbalik ke lorong kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk ujian saringan COVID-19 dan dibedah siasat.