Lelaki putus tangan, jiran cedera di perut bergaduh guna parang, 'pedang samurai'
Adie Sufian Zulkefli
September 20, 2021 20:06 MYT
September 20, 2021 20:06 MYT
JITRA: Seorang lelaki parah apabila tangan kirinya putus terkena libasan 'pedang samurai' oleh jirannya dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelubi Dalam, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata jirannya turut cedera pada perut akibat terkena libasan parangnya, dalam kejadian jam 2.10 petang itu.
"Polis percaya berlaku pertengkaran mulut sebelum itu, dan ekoran tidak berpuas hati mangsa (lelaki putus tangan) datang ke rumah suspek membawa sebilah parang.
"Suspek (jiran) yang berang bertindak mengeluarkan sebilah 'pedang samurai' lalu melibas dan terkena tangan kiri mangsa sehingga putus," katanya di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, lelaki yang berusia 27 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Jitra oleh saksi yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, jirannya berusia 29 tahun yang cedera pada perut dihantar ke hospital sama oleh anggota Unit Anggota Peronda (MPV).
Rodzi berkata, susulan kejadian polis merampas sebilah pedang samurai dan parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.