Lelaki putus dua jari tangan kanan tersepit mesin pengisar daging

Bernama
Mei 6, 2017 21:48 MYT
Pengendalian mesin pengisar perlu dilakukan dengan penuh hati-hati demi mengelakkan kejadian yang tidak dingini. - Gambar hiasan/Reuters
Seorang pekerja restoran terpaksa menahan kesakitan lebih setengah jam setelah tangan kanannya tersepit di mesin pengisar daging dalam kejadian di sebuah restoran di lorong Binjai, di sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku ketika lelaki yang hanya dikenali sebagai Remy, 20, sedang melakukan kerja mengisar daging di restoran berkenaan pada 5 petang tadi.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata pihaknya mengambil masa sekitar 40 minit untuk mengeluarkan tangan lelaki berkenaan daripada mesin itu.
Beliau berkata bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan kanan mangsa yang mengalami kecederaan serius.
"Akibat tersepit di mesin pengisar itu, jari tangan mangsa telah putus dua manakala jari tengah hancur dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
#jari putus #kemalangan #mesin kisar daging
;