Lelaki punyai 9 rekod jenayah maut ditembak di Taiping

Nazialita Geynna Maharan
Februari 27, 2016 02:41 MYT
Pemeriksaan perubatan lanjut mendapati mangsa mempunyai kesan tembakan di bahagian kepala, perut dan lengan kanan. - Gambar Fail
Seorang lelaki tempatan maut ditembak dalam satu kejadian di Jalan Perusahaan 3, berhampiran sebuah pasaraya di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 8.45 malam itu, mangsa, 40, seorang pengusaha kedai barangan lusuh di Simpang Halt telah menelefon pekerjanya untuk meminta bantuan selepas ditembak beberapa kali.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata pekerja mangsa kemudian menghubungi adik lelaki mangsa yang bergegas ke tempat kejadian.
"Sesampainya adik mangsa didapati beliau telah terlantar di bahagian tepi jalan dalam keadaan pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping.
"Malangnya, mangsa gagal diselamatkan dan mati ketika berada di hospital," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Jelasnya, pemeriksaan perubatan lanjut mendapati mangsa mempunyai kesan tembakan di bahagian kepala, perut dan lengan kanan.
Harrith berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang telah berkahwin mempunyai 9 rekod melibatkan kes jenayah dan dadah.
Katanya, polis tidak mengetepikan unsur dendam dalam kegiatan lampau mangsa sebagai motif kejadian dan siasatan lanjut akan dijalankan.
"Bedah siasat akan dijalankan pada 10 pagi hari ini ( Sabtu ) dan setakat ini tiada saksi dalam kejadian tembak tersebut.
"Justeru, kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera menghubungi polis dengan segera,"ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Harrith Kam Abdullah #Taiping #tembak