Lelaki pukul kepala, ugut wanita dipenjara tujuh hari

Amirrul Rabbani
Jun 9, 2023 10:44 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Tapah pada Jumaat. - Astro AWANI
TAPAH: Seorang lelaki yang mengugut dan memukul kepala seorang wanita seperti dalam satu video tular dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah, di sini pada Jumaat.
Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun mengaku salah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula tarikh sabitan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang di Selangor itu didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24 tahun, dengan kata ugutan "pecah muka kau sat lagi" di kilometer (km) 22 Jalan Tapah-Cameron Highlands berhampiran Pusat Peranginan Lata Iskandar, dekat sini pada 5.33 petang, 5 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berkenaan di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara pertuduhan kedua dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana menyifatkan tindakan lelaki itu kesalahan serius selain ia sebagai mesej kepada orang ramai untuk tidak mengulangi tindakan sedemikian.
"Kes ini sedang tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan awam. Jadi mahkamah harus mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan juga orang awam untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya," katanya.
Walau bagaimanapun, Mohamad Zaim Faiz merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia menyara seorang anak dan isteri yang sedang mengandung lapan bulan.
Ketika ditanya oleh Siti Hanum selain rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata kejadian itu berlaku apabila wanita berkenaan gagal memotong kenderaannya dan tindakannya itu boleh mengancam nyawa ahli keluarganya yang turut berada dalam kenderaannya.
"Saya nak luahkan, dalam kejadian itu, pengadu yang membuat laporan cuba memotong tapi (laluan) bertentangan ada kereta.
"(Tindakan) itu boleh mengancam keluarga saya dan nyawa, sebab itu saya marah sangat kerana dalam kereta ada anak dan isteri saya," katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hanum menasihatkan tertuduh agar berfikir dahulu sebelum bertindak dan setiap tindakan ada kesan dan akibatnya yang bukan sahaja terhadap diri sendiri malah ahli keluarga dan masyarakat.
Media pada Selasa melaporkan lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Siasatan awal polis mendapati, insiden tersebut berlaku sekitar jam 5.33 petang pada Isnin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.
Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit memaparkan tindakan seorang lelaki berbadan tegap memakai baju merah keluar dari kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu terbabit.
#lelaki kasari #pemandu wanita dikasari #Cameron Highlands #Balai Polis Tapah
;