Lelaki pukul isteri dipenjara 12 bulan, denda RM1,000

Sinar Harian
Julai 3, 2023 21:10 MYT
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin pada 24 April lalu jam 9.15 pagi. - Gambar hiasan/Pexels
TAMPIN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memukul isterinya pada April lepas.
Tertuduh S Ragubalan, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantukkan kepalanya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan dahi, bengkak pada bahagian belakang kepala dan sakit pada bahagian tengkuk.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin pada 24 April lalu jam 9.15 pagi.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah, tertuduh pernah
dituduh di mahkamah majistret di sini atas kesalahan di bawah seksyen yang sama pada November 2022 dan mengaku bersalah.
"Tertuduh dikenakan hukuman denda RM1,500 dan satu hari penjara untuk kes tersebut.
"Memandangkan tertuduh melakukan kesalahan sama, ia menunjukkan hukuman satu hari penjara adalah tidak cukup untuk memberi pengajaran setimpal terhadapnya.
"Mohon hukuman penjara lebih panjang sebagai pengajaran yang setimpal kepada tertuduh dan masyarakat secara am dengan mengambil kira kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan perlu membiayai lima orang anak dan menghidap penyakit kencing manis selain baru menjalani pembedahan kaki di hospital. - Sinar Harian
#pukul isteri #penjara #Rumah Tangga #pembedahan kaki
;