Lelaki pukul anggota JPJ dipenjara sehari, denda RM4,000

Sinar Harian
Januari 3, 2024 14:45 MYT
Video yang tular di media sosial pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
ALOR SETAR: Seorang lelaki memukul anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular di media sosial telah dipenjara satu hari dan didenda RM4,000.
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, video berdurasi satu minit 24 saat itu berlaku pada 22 November lalu, memaparkan sebuah lori model Nissan Vanette enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, kenderaan tersebut kemudiannya berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, dekat sini dan telah menyerang anggota JPJ yang bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat selain provokasi.
"Ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugas rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan PUSPAKOM Tamat Tempoh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Aman Shah berkata, kenderaan itu kemudian diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama.
"Ketika ditahan, individu terbabit melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas," ujar beliau.
Tambahnya, satu laporan polis kemudiannya dibuat oleh anggota JPJ tersebut.
"Lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai peniaga air tebu itu sudah ditahan polis dan sudah pun didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
"Individu terbabit sudah menjalani hukuman selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000," kata Aman Shah.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
Jelasnya, JPJ Kedah mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dahulu, dengan mencemarkan imej perkhidmatan awam serta tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.
#pukul anggota JPJ #Mahkamah Majistret #Alor Setar #Jitra #Puspakom
;