Lelaki proses dan edar dadah dalam rumah sewa kakak ditahan

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 29, 2023 17:52 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Tindakan seorang lelaki memproses dan mengedar dadah jenis heroin di dalam rumah teres dua tingkat kakaknya di Seberang Jaya, Pulau Pinang membawa padah selepas dia diberkas polis Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan jam 2 petang itu, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan menemui kira-kira 7.4 kilogram (kg) dadah jenis heroin di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Siasatan lanjut kemudiannya menemui beberapa peralatan memproses dadah di dalam rumah sewa berkenaan selain kakak suspek turut berada di rumah terbabit.
“Polis membuat pemeriksaan ke atas Perodua Alza yang diletakkan di tepi jalan kira-kira 600 meter dari rumah berkenaan sebelum menemui kira-kira 7.4 kg dadah disyaki ganja.
“Dadah dianggarkan bernilai RM61,420 yang dibungkus dalam satu plastik lutsinar tersebut diletakkan di bahagian belakang kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Kok Chin berkata, suspek yang positif ujian saringan air kencing dan memiliki 12 rekod berkaitan kes dadah itu dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal 2023.
Siasatan mendapati, suspek dipercayai memperolehi dadah tersebut dari negara jiran untuk dipasarkan di seluruh negeri ini dan negeri-negeri berjiran.
Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas wang tunai RM5,050 dan kereta jenis Honda Accord bernilai RM20,000 bersama MPV serta dadah berkenaan yang menjadikan nilai sitaan berjumlah RM88,470.
Kok Chin berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 37,000 penagih jika ia terlepas ke pasaran.
Suspek direman selama seminggu sehingga Khamis depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#proses dadah #rumah kakak #polis pulau pinang #Khaw Kok Chin
;