Lelaki pecah rekod baharu makan nasi kandar RM222
Sinar Harian
Februari 8, 2024 05:45 MYT
Februari 8, 2024 05:45 MYT
SHAH ALAM: Seorang lelaki berjaya memecah rekod baharu apabila dikatakan makan nasi kandar yang berharga RM222 di sebuah restoran mamak terkenal di Pulau Pinang.
Perkara itu dikongsikan pentadbir Facebook Nasi Kandar Sulaiman sehingga tular di media sosial.
Difahamkan, lelaki tersebut mengambil 16 ekor sotong, 10 ekor udang, dua ketul ayam, dan lauk sampingan lain seperti kambing, telur sotong serta bendi.
"Fuh, orang Penang lagi. Seorang makan semua ini, amat-amat dahsyat.
"Kita tak paksa apa-apa dan bukan panggil dia makan.
"Dia sendiri datang makan dan buat rekod, memang padu," katanya pada Khamis.
Berdasarkan komen pada hantaran tersebut, lelaki berkenaan berjaya menghabiskan makanan itu dalam tempoh 55 minit.
Sebelum ini, rekod paling mahal adalah RM218 oleh seorang lelaki pada 20 Januari lalu. - Sinar Harian