Lelaki pecah patung di kuil dipercayai sakit mental - Polis Ipoh

Bernama
April 25, 2016 09:38 MYT
Menurut ACP Sum Chang Keong, Jika terbukti dia tidak siuman, maka apa yang dilakukannya itu adalah di luar kawalan.
Lelaki yang memecahkan patung di sebuah kuil di Jalan Hospital di sini dipercayai mempunyai masalah mental, kata Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong.
Beliau berkata polis yang berjaya menahan suspek berumur 29 tahun itu tidak lama selepas kejadian itu sedang mengaturkan supaya dia menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Katanya polis menasihati orang ramai supaya tidak menjadikan insiden yang berlaku kira-kira 5.10 petang semalam itu sebagai isu perkauman.
"Jika terbukti dia tidak siuman, maka apa yang dilakukannya itu adalah di luar kawalan, bukan niat untuk menghina sebarang agama," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil itu lewat malam tadi.
"Semasa kejadian hanya terdapat seorang sami di kuil berkenaan yang juga merupakan saksi kejadian," katanya.
Sum berkata suspek masuk ke kawasan kuil itu dengan sebuah kereta sebelum memecahkan patung berkenaan dengan sebilah parang.
Katanya selepas merosakkan patung berkenaan, suspek melarikan diri ke Jalan Ghazali Jawi dengan memandu kereta secara melawan arus dan terbabas lalu melanggar sebuah perhentian bas sebelum ditahan polis.
Ketika ditanya sama ada suspek yang difahamkan pernah menuntut di Mesir mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh, katanya buat masa ini polis tiada maklumat mengenai perkara itu, namun akan menyiasat secara terperinci.
#lelaki tidak siuman #masalah mental #pecah patung kuil #sensitiviti kaum
;