Lelaki parah terjatuh ketika mandi di air terjun
Adie Sufian Zulkefli
Jun 21, 2023 00:44 MYT
Jun 21, 2023 00:44 MYT
YAN: Seorang lelaki parah selepas tergelincir dan jatuh pada ketinggian lebih 15 meter di kawasan air terjun Seri Perigi, di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, mangsa berusia 23 tahun itu dipercayai datang bersama rakannya untuk mandi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 petang tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa berada dalam keadaan separa sedar ketika pihak bomba menjalankan kerja-kerja penyelamatan.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, selain tangan dan kaki.
"Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 7.16 petang untuk dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan susulan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.