Lelaki parah bahu tertusuk besi

Sinar Harian
Disember 21, 2024 10:30 MYT
Mangsa parah akibat tertusuk besi di bahu kanannya selepas terjatuh dari sebuah pelantar. - Foto JBPM
DUNGUN: Seorang lelaki cedera parah akibat tertusuk besi di bahu kanannya selepas terjatuh dari sebuah pelantar ketika sedang memotong besi di sebuah stesen janakuasa yang telah tamat operasi di kawasan Perindustrian Paka di sini pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rizuan Ramli berkata, lelaki berusia 34 tahun itu terpaksa diturunkan anggota bomba selepas tergantung pada ketinggian 84 meter dalam kejadian pada jam 4.45 petang.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 4.51 petang. Sebelum kejadian, difahamkan mangsa sedang melakukan kerja-kerja memotong besi di tingkat tujuh di sebuah stesen janakuasa tersebut.
"Ketika sedang melakukan kerja tersebut, mangsa tersadung dengan sebatang besi sebelum terjatuh.
"Bagaimanapun mangsa tidak jatuh ke tanah susulan dia memakai abah-abah keselamatan ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Susulan itu, Mohd Rizuan berkata, pihaknya telah membawa mangsa turun dari pelantar jam 6.10 petang dan segera diberi rawatan.
“Kami segera membalut luka pada bahu mangsa bagi menghentikan pendarahan.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” ujarnya. - Sinar Harian
#cedera parah #pelantar #tertusuk besi #kerja memotong besi
;