Lelaki Pakistan bunuh doktor terlepas hukuman gantung

Bernama
September 11, 2024 22:20 MYT
Tengku Maimum mengetepikan hukuman mati terhadap Syafaqat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 5 April 2013 dan memerintahkan hukuman penjara dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos 2011. - Gambar hiasan/Flickr.com
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Pakistan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati mandatori yang dijatuhkan ke atasnya dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh seorang doktor, 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Mat dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Syafaqat Ali Ghulam Nabi mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimum mengetepikan hukuman mati terhadap Syafaqat Ali, 43, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 5 April 2013 dan memerintahkan hukuman penjara dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 24 Ogos 2011.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Shafaqat Ali didapati bersalah membunuh Dr Harjit Singh a/l Bachan Singh, 51, di rumahnya di Kampung Sungai Padang Sertik, Bentong, Pahang pada 8.30 malam, 23 Ogos 2011.
Menurut fakta kes, mangsa dijumpai di hadapan rumahnya dengan kepalanya terputus daripada badan selepas Shafaqat, yang bekerja di kebun tanaman pokok kemboja milik si mati, menggunakan parang sepanjang 60 sentimeter untuk memancung leher doktor itu.
Shafaqat memberitahu saksi dia membunuh doktor berkenaan kerana tidak dapat menerima perbuatan si mati menghina Kaabah.
Sementara itu dalam kes berasingan, dua lelaki iaitu bekas tukang masak Syarafi Abu, 33, dan Mohd Syawal Abdullah, 38, turut diketepikan daripada hukuman mati dan digantikan dengan hukuman penjara serta sebatan.
Syarafi dijatuhi hukuman mati pada 12 Mei 2017 selepas didapati bersalah membunuh Nur Syuhada Johari, 20, pelajar Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang di dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Gantang pada 2 Feb 2015.
Hukuman itu digantikan dengan 38 tahun penjara dan 14 sebatan.
Mohd Syawal pula dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 2016, selepas didapati bersalah membunuh isterinya Nor Fatimah Anis Md Radzi, 17, dengan memukul mangsa berulang kali menggunakan batang buluh di Kampung Alor Gelegah, Alor Mengkudu, Alor Setar kira-kira 5 pagi, 28 Dis 2012.
Mahkamah menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun dan 12 sebatan.
Sejurus keputusan dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, keluarga kesemua tertuduh kelihatan menangis sambil melambai ke arah mereka sebelum dibawa masuk ke dalam lokap mahkamah.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #lokap mahkamah #hukuman mati #Ketua Hakim Negara
;