Lelaki OKU sesat di hutan sejak semalam, ditemukan selamat

Bernama
Oktober 10, 2024 23:48 MYT
Mangsa tidak berpakaian dan dalam keadaan lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak semalam. - Foto JBPM Kelantan
KOTA BHARU: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan sesat di hutan di Rancangan Pemulihan Tanah Sungai Pas, Kuala Krai semalam, ditemukan selamat malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata mangsa yang dikenali sebagai Azhar Abdul Rashid, 50, dijumpai sedang berjalan kaki di ladang sawit Bukit Chengal oleh penduduk kampung pada pukul 8.14 malam.
Beliau berkata ketika ditemui mangsa tidak berpakaian dan dalam keadaan lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak semalam.
"Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudiannya diserah kepada polis untuk dibawa ke hospital bagi pemeriksaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Seramai 38 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari mangsa termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
-- BERNAMA
#OKU #Balai Bomba dan Penyelamat #hilang #Azhar Abdul Rashid
;