Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah kedai

Adie Sufian Zulkefli
Januari 28, 2024 10:15 MYT
Kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan 90 peratus premis rumah kedai. - Gambar/ JBPM
GURUN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui maut dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai motosikal di Taman Sri Utama, di sini awal pagi Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.40 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sharifuddin Yaacob dan dibantu pasukan dari BBP Yan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Komander Operasi melaporkan kebakaran itu membabitkan sebuah kedai kelas A membabitkan premis satu tingkat.
"Kebakaran itu membabitkan kemusnahan 90 peratus dan terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berstatus OKU berusia 34 tahun ditemui dalam tandas premis berkenaan.
"Kerja-kerja memotong pintu utama jeriji besi itu dilakukan untuk mencari mangsa dan operasi terkawal pada jam 5.17 pagi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Syufaat berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Siasatan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan pihak Unit Forensik JBPM Kedah," katanya.
#maut #kebakaran #rumah kedai #OKU
;