Lelaki OKU maut jatuh landasan LRT Titiwangsa
Kenyataan Media
Februari 22, 2025 12:14 MYT
Februari 22, 2025 12:14 MYT
Anggota JPBM mengeluarkan mayat lelaki OKU buta penglihatan yang maut digilis selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa, pagi Sabtu. -PGOKL
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa sebelum digilis tren LRT, pada pagi Sabtu.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki OKU penglihatan maut selepas terjatuh dan digilis tren LRT di Titiwangsa pada pagi Sabtu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
- JBPM menerima panggilan kecemasan dan mengerahkan pasukan dari BBP Sentul dan BBP Titiwangsa ke lokasi. Mangsa ditemui di bawah landasan rel LRT.
- Perkhidmatan tren di beberapa stesen digantung sementara, dan perkhidmatan bas perantara percuma diaktifkan sebagai langkah keselamatan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Menurut Komander Operasi Fadil Hesam Mohd, mangsa ditemui berada di bawah landasan rel LRT.
"Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 08:38 pagi melalui sistem MERS-999 yang memaklumkan mengenai penemuan mayat di bawah rel keretapi," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, Balai Jagaan BBP Sentul dan Balai Bantuan BBP Titiwangsa dikerah ke lokasi.
Pemeriksaan lanjut menunjukkan mangsa hilang keseimbangan lalu terjatuh di kawasan rel LRT sebelum dilanggar sebuah tren.
"Proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan proses penyiasatan yang lancar," katanya.
Sementara itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur digantung sementara susulan kejadian.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan ambulans yang sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.
“Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi," kata kenyataan itu lagi.