BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut dalam keadaan mulutnya ditampal pita pelekat dalam kejadian samun di rumah keluarganya di Guar Perahu, di sini, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui tertiarap di atas lantai biliknya dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.

Helmi berkata, berdasarkan keterangan pengadu, selain anaknya, isterinya yang berusia lingkungan 70-an turut diikat kaki serta tangannya dan mulutnya ditampal pita pelekat dalam bilik berasingan.

Menurutnya, kejadian disedari pengadu selepas mendapati kediaman mereka berada dalam keadaan berselerak.

Pengadu kemudiannya menemui isterinya berada dalam keadaan tangan serta kaki terikat kabel sebelum memeriksa bilik anak lelakinya.

Mangsa yang merupakan OKU bisu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Bukit Mertajam manakala isteri pengadu hanya mengalami luka pada jari kanan.

Sementara itu, Helmi berkata, suspek dipercayai dua lelaki bersenjatakan parang telah memecah masuk kediaman keluarga itu dan melarikan wang tunai serta sebuah televisyen.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Seberang Jaya, (HSJ ) untuk bedah siasat.

Lelaki OKU maut, ibu cedera dalam kejadian samun