Lelaki OKU maut dilanggar ketika melintas jalan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 14, 2021 21:34 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam maut selepas dirempuh kereta di bawah jejantas berhampiran Perodua Hijau Kuning, Alor Setar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku jam 8.30 pagi ketika itu mangsa, Abdul Muiz Abdul Rashid, 48, dari Flat Simpang Kuala, sedang berjalan kaki dan menyeberangi jalan dengan tidak menggunakan jejantas.
"Bagaimanapun berlaku perlanggaran dengan kereta Toyota Avanza yang sedang bergerak dari pusat bandar ke arah Simpang Kuala dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ahmad Shukri berkata, pemandu kereta berusia 59 tahun yang menetap di Jalan Langgar itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
#OKU #maut dilanggar #Perodua Hijau Kuning #Polis Daerah Kota Setar #Abdul Muiz Abdul Rashid #Flat Simpang Kuala #Hospital Sultanah Bahiyah #Akta Pengangkutan Jalan
;