Lelaki OKU maut dalam kebakaran rumah di Rawang
Afiezy Azaman
Mei 27, 2023 08:16 MYT
Mei 27, 2023 08:16 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Country Homes, Rawang, Selangor, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.28 pagi.
Katanya, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Batu Arang tiba di lokasi lapan minit kemudian.
"Berdasarkan laporan awal, kebakaran melibatkan sebuah bilik di rumah teres dua tingkat.
"Terdapat seorang mangsa, iaitu lelaki berusia 56 tahun, dan merupakan OKU, ditemukan maut dalam bilik tersebut.
"Difahamkan, semasa kejadian mangsa tinggal dengan abangnya, warga emas berusia 65 tahun, namun abangnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Punca kebakaran dan punca kerugian masih dalam siasatan.