Lelaki OKU hilang ditemukan selamat

Sinar Harian
Mac 20, 2022 11:20 MYT
Lelaki OKU (duduk) ditemukan selamat oleh orang awam selepas dilaporkan hilang dalam kebakaran di Felda Sungai Nerek pada Ahad. -Foto ihsan bomba
JENGKA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini dilaporkan hilang dalam kebakaran di Felda Sungai Nerek di sini pada Ahad ditemukan selamat.
Mangsa yang berusia lewat 40-an tahun itu ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi oleh orang awam di kawasan Felda terbabit.
BACA: Lelaki OKU hilang selepas rumah terbakar
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, lelaki terbabit dipercayai keluar dari kawasan kebakaran ketika kejadian.
Menurutnya, rumah terbabit didiami dua orang termasuk lelaki OKU tersebut dan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan sembilan meter x 24 meter dengan anggaran kemusnahan 95 peratus.
"Seorang lagi lelaki dewasa yang menghuni rumah tersebut selamat apabila berjaya keluar menyelamatkan diri.
"Pihak bomba menerima panggilan daripada MERS 999 jam 3.05 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka telah diarahkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Maran dengan kekuatan logistik satu jentera pemadaman dan satu jentera EMRS.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #lelaki OKU #hilang dalam kebakaran #Felda Sungai Nerek
;