Lelaki nyaris maut motosikal terjunam dalam sungai
Adie Sufian Zulkefli
Januari 3, 2022 15:11 MYT
Januari 3, 2022 15:11 MYT
PENDANG: Seorang lelaki nyaris mati lemas selepas motosikal Yamaha Y150 yang ditungganginya terbabas lalu terjunam masuk ke dalam sungai di Jalan Tokai, Kampung Kepala Parit Dalam, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.35 tengah hari itu, mangsa yang berusia 27 tahun, bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
Mangsa mengalami kecederaan di kaki selain luka di tangan dan muka.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan sebelum gagal mengawal motosikal sehingga terjunam ke dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ezzat Emran Ezzani berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian sepasukan anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba mendapati mangsa berada di tebing sungai berkenaan dalam keadaan mengerang kesakitan.
"Bantuan rawatan awal diberikan Unit EMRS sebelum mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.