Lelaki nyaris maut kereta dipandu terbabas, terbakar

Bernama
September 14, 2024 18:13 MYT
Kenderaan yang terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana, Kota Tinggi pada pagi Sabtu. -Sinar Harian/BBP Kota Tinggi
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana, Kota Tinggi pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan Perodua Alza yang dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana.
  • Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Yusof Othman, menyatakan kemalangan berlaku kerana kereta melanggar lopak air, menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
  • Mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum ia terbakar. Operasi pemadaman oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi selesai pada pukul 9.37 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dari arah Kota Besar menghala ke arah Taman Johor Jaya melanggar lopak air.
"Kenderaan terbabit telah hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.
"Mangsa yang melihat kenderaannya berasap bertindak keluar dari kenderaan sebelum kenderaan itu mula terbakar," katanya.
Beliau berkata tiada sebarang penumpang di dalam kereta itu dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) serta satu saman (POL 257) dikeluarkan di bawah kaedah 10 LN 166/59.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi.
Beliau berkata tujuh anggota berserta sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian.
"Kereta terbabit musnah 95 peratus. Mangsa tidak tersepit, namun cedera ringan.
"Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 9.37 pagi," katanya.
-- BERNAMA
#langgar lopak air #Perodua Alza #kereta terbakar #Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru #Taman Seri Saujana
;