Lelaki Nepal maut dalam pergaduhan di asrama pekerja kilang

Bernama
Ogos 18, 2024 00:10 MYT
Polis berkata hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan tercetus akibat rasa tidak puas hati disebabkan perbuatan membuat bising. - Foto hiasan
IPOH: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut disyaki ditikam dengan objek tajam dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan pekerja warga asing di sebuah asrama pekerja di Kuala Kurau, Kerian, kira-kira 108 kilomter dari sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff berkata kira-kira jam 12.35 awal pagi tadi, pihaknya menerima panggilan mengenai pergaduhan melibatkan sekumpulan warga Myanmar dan Nepal di asrama berkenaan.
Juna berkata hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan tercetus akibat rasa tidak puas hati disebabkan perbuatan membuat bising.
"Kesemua warga asing itu bekerja di kilang yang sama di Kuala Kurau dan mangsa merupakan lelaki warga Nepal berusia 28 tahun" katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu, polis telah menahan 21 suspek bagi membantu siasatan manakala seorang pekerja Myanmar berusia 38 tahun telah menghilangkan diri selepas kejadian itu.
Menurutnya polis masih giat mengesan suspek yang menghilangkan diri dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian ASP Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525 atau pegawai penyiasat Inspektor Fernandes Bayoi di talian 019-867 3515.
Orang ramai juga boleh hubungi IPD Kerian di talian 05-721 5222 atau mana-mana balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA
#lelaki nepal #pergaduhan #asrama pekerja kilang #warga asing