Lelaki Myanmar miliki kad UNHCR palsu ditahan
Bernama
Februari 3, 2024 15:00 MYT
Februari 3, 2024 15:00 MYT
JERTIH: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu kerana memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Op Kutip dan Op Belanja di bandar Jertih, di sini, semalam.
Lelaki berusia lingkungan 20-an itu bergerak bebas tanpa rasa takut kerana menyangka tindakannya memiliki kad palsu itu tidak akan dikesan oleh pihak berkuasa.
Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata lelaki itu merupakan seorang daripada keseluruhan 25 pendatang asing tanpa izin berusia 20 hingga 55 tahun yang ditahan JIM dalam operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir pada 7 malam di sekitar Besut itu.
"Lelaki itu mendakwa dia memperoleh kad tersebut daripada rakannya di Johor dengan bayaran RM150 setelah pemeriksaan oleh pihaknya melalui sistem mendapati kod kad yang ditunjukkan lelaki itu sebenarnya milik seorang wanita.
"Keseluruhan pendatang asing tanpa izin yang diperiksa dalam operasi yang disertai 26 pegawai JIM, membabitkan 154 orang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Indonesia," katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan Pejabat Imigresen Malaysia cawangan Besut dekat Kampung Raja di sini.
Azhar berkata kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen iaitu Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, 15 (1) (c) kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39 (b) kerana melanggar syarat pas dan kesemua mereka kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.
"Turut disita empat motosikal termasuk barang jualan sate ikan manakala sebuah kereta yang dipandu lelaki Myanmar itu akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan seterusnya," katanya.
Setakat semalam JIM Terengganu melaksanakan 102 operasi di seluruh negeri sejak awal tahun ini membabitkan penahanan 209 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan melibatkan lebih 1,400 orang yang diperiksa.
Dalam pada itu, Azhar turut mengingatkan majikan untuk tampil mengambil biometrik pekerja masing-masing yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) sebelum proses verifikasi tamat pada 31 Mac depan.
"Ini disebabkan statistik yang kami ada seramai 6,000 lebih yang mendaftar Program RTK 2.0 tetapi hanya lebih 3,000 majikan sahaja yang datang mengambil biometrik pekerja masing-masing setakat ini, dan masih ada dua bulan lagi tempoh untuk mereka datang ke pejabat JIM untuk tujuan itu," katanya.
-- BERNAMA