Lelaki Myanmar 'mengamuk' ditemukan mati di dalam rumah
Astro Awani
April 2, 2018 17:05 MYT
April 2, 2018 17:05 MYT
Seorang lelaki yang pulang dalam keadaan cedera di beberapa bahagian badan ditemukan mati di dalam bilik tidurnya di Kampung Permatang Tengah, Butterworth pada Isnin.
Mayat Tu Mai Marit, warganegara Myanmar berusia 39 tahun itu dijumpai dalam keadaan terlentang dengan kesan lebam dan luka di dahi kiri oleh isterinya kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata isteri mangsa memberitahu kali terakhir dia bertemu suaminya adalah pada jam 7 petang Ahad yang sebelum itu pulang ke rumah dalam keadaan luka di beberapa bahagian badan.
Hasil soal siasat, isteri mangsa mendakwa suaminya pulang dalam keadaan mabuk dan dikatakan mengamuk sehingga menyebabkan dia melarikan diri dan bermalam di rumah jiran.
Noorzainy berkata berdasarkan keadaan mayat dan juga kesan tompokan darah di kawasan luar rumah, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah dipukul dengan objek keras.
"Si mati keluar rumah Sabtu lepas dan hanya balik semalam jam 7 malam. Kita dapati si mati mengamuk menyebabkan isterinya lari dari rumah kerana takut dipukul suami," kata Noorzainy.
Difahamkan mangsa bekerja sebagai pekebun sayur berdekatan kawasan rumahnya sejak lima tahun lepas.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Susulan kejadian, Noorzainy berkata polis telah menahan isteri mangsa yang juga warganegara Myanmar dan seorang lelaki bagi membantu siasatan.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.