Lelaki Myanmar maut kemalangan jet ski

Bernama
April 16, 2023 00:13 MYT
Lelaki itu menunggang sendirian dan dia kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut. - Gambar fail/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas jet ski yang ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut, dalam nahas di kawasan pantai di belakang sebuah hotel di Batu Ferringhi, dekat sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V Saravanan berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa Tun Lin Aung, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dagu dan leher.
"Hasil siasatan awal, lelaki itu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Ferringhi di sini untuk menghadiri pesta Songkran bersama rakan senegaranya sebelum mangsa menyewa sebuah jet ski di kawasan pantai tersebut dengan harga RM150.
Lelaki itu menunggang sendirian dan dia kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut.
Akibat perlanggaran mangsa mengalami kecederaan di dagu dan leher, dia telah ditarik keluar dari laut oleh beberapa saksi yang nampak kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Saravanan berkata pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat kemalangan tersebut dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat esok.
Katanya hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika menyewa jet ski itu dan perkara tersebut turut diakui rakan senegaranya.
Menurutnya pemeriksaan juga mendapati lelaki itu telah tiga tahun bekerja di negara ini dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja yang sah.
"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merekodkan keterangan beberapa saksi dan rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#jet ski #mabuk #siasatan #saksi
;