Lelaki Myanmar ditahan selepas rakam gambar kerani wanita buang air
Bernama
Julai 25, 2019 06:37 MYT
Julai 25, 2019 06:37 MYT
Seorang warga Myanmar menerima padah selepas ditahan polis kerana mengintai dan merakam gambar seorang kerani wanita sedang membuang air dalam tandas di tempat kerjanya di Taman Perindustrian Berjaya, Kempas pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad, mangsa berusia 23 tahun itu menyedari perbuatan lelaki berusia 20 tahun itu ketika sedang membuang air kecil di dalam tandas pejabatnya pada jam 10 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berada di dalam tandas wanita di tingkat bawah dan ketika mahu membuang air kecil, dia menyedari ada seseorang sedang mengintai dengan menggunakan telefon bimbit.
“Mangsa kemudian bertindak keluar dari bilik air dan terus ke tandas sebelah dan mengetuk pintu bilik air berkenaan namun suspek tidak mahu membuka pintu tandas sebelum bertindak beredar dari situ dan meminta bantuan rakannya serta memaklumkannya kepada ketua jabatan,” tambah beliau.
Sejurus melaporkan kepada ketua jabatan, mangsa dan rakannya terus ke tandas dan mendapati seorang lelaki yang merupakan operator di pejabatnya berada dalam tandas tersebut.
“Mangsa terus mengambil telefon suspek tersebut dan mendapati terdapat beberapa gambar miliknya yang diambil dua hari sebelumnya 23 Julai di dalam tandas tersebut secara bersembunyi.
“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perbuatan rakan sepejabatnya itu telah pergi ke balai polis membuat laporan dan pihak polis telah menangkap suspek,” katanya lagi.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang dan memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit pula, suspek boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.