Lelaki murung maut terjatuh tingkat 10 pangsapuri
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 23, 2021 23:45 MYT
Jun 23, 2021 23:45 MYT
BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang dipercayai kemurungan selepas perniagaannya mengalami kerugian maut selepas terjatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam di sini, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Noorzainy berkata, polis menerima laporan kejadian sekitar jam 6.45 petang dari penduduk.
"Menurut saksi, lelaki itu bukan penduduk di situ namun telah memasuki kawasan pangsapuri berkenaan sebelum kejadian berlaku dengan menaiki motosikal.
"Dia dipercayai terus menaiki lif ke tingkat 10 dan duduk di balkoni (sebelum kejadian berlaku)," katanya di sini, pada Rabu.
Noorzainy berkata, isteri lelaki itu memaklumkan dia mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu selepas perniagaan yang diceburinya gagal dan mengalami kerugian.
Mayat lelaki itu dihantar Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Terdahulu, rakaman video seorang lelaki terjun dari sebuah pangsapuri menjadi tular di laman sosial.