Lelaki mohon maaf lepas tikam kanak-kanak sehingga terburai usus
Adie Sufian Zulkefli
Januari 13, 2020 16:35 MYT
Januari 13, 2020 16:35 MYT
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun cedera parah ditikam sehingga terburai usus di rumahnya di Kampung Keda Che Bema, Sungai Petani, Kedah.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad itu, suspek yang bersenjata sebilah pisau secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah mangsa dimana ketika itu mangsa, ibu dan kakaknya serta seorang lagi adiknya sedang berbaring di ruang tamu.
Menurut kakak mangsa, Siti Khalijah Zilkifli, 20, berkata dia terkejut apabila terdengar ibunya Juliana Shafie, 41, menjerit kuat apabila ternampak suspek berada di tepi adiknya sambil menikam pisau ke perut adiknya sebelum memohon maaf.
“Dia datang melutut minta maaf dekat saya, saya kata minta maaf pun tidak guna kamu buat apa kat adik aku? Lepas itu saya kata buat macam mana pun tidak boleh, dah adik aku jadi macam tu dah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Panik dan takut, suspek kemudiannya menarik pisau dari perut adiknya sehingga terkeluar usus perut dan terus memasukkan pisau ke dalam baju lalu berlari keluar melalui pintu belakang.
Siti Khalijah kemudian berlari keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan jiran manakala emaknya pengsan.
Kemudiannya jiran segera membawa adiknya itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisiner Adzli Abu Shah memaklumkan sebaik menerima laporan gerakan memburu suspek dijalankan dan polis telah berjaya menahan suspek kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.
Suspek direman selama seminggu mulai hari ini sehingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Hasil semakan suspek memiilki rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah dan dadah.