Lelaki miliki peralatan dan kelengkapan PDRM ditahan polis

Astro Awani
Oktober 13, 2019 05:47 MYT
Mazlan berkata, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya penyamaran yang mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam. - Gambar fail
Polis telah menangkap seorang lelaki di perkarangan Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur, atas kesalahan memiliki peralatan dan kelengkapan polis.
Tangkapan dibuat pada 13 Oktober 2019, jam lebih kurang 12.30 tengah malam, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan.
Dalam tangkapan itu, lelaki tersebut telah menyerahkan satu 'vest' keselamatan bertulis 'Persatuan Kepolisan Komuniti Kuala Lumpur & Selangor (PKKKLS) berwarna hijau dan sepasang pangkat CP (Commissioner Police) yang dipasang pada vest itu.
"Hasil siasatan pihak Polis mendapati lencana pangkat tersebut ditempah di sebuah kedai jahit di Gombak.
"Kehadiran lelaki tersebut dengan memakai vest keselamatan beserta pangkat CP (Commissioner Police) di suatu majlis keagamaan di kawasan Taman Wahyu adalah atas jemputan Setiausaha Persatuan tersebut yang tinggal di kawasan itu," katanya.
Mazlan berkata, siasatan lanjut juga dilakukan terhadap ahli-ahli lain yang turut hadir majlis tersebut, saksi bebas dan lain-lain aspek yang berkaitan.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu memiliki, membuat, menjual atau membekalkan secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai Polis dan penggunaan pakaian seragam Polis tanpa kebenaran dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu memiliki secara haram barang-barang kepunyaan Askar, Tentera Laut, Tentera Udara atau Polis.
Tambahnya, PDRM memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya penyamaran yang mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam.
#Balai Polis Jinjang #Gombak #kekeliruan #keselamatan #Kuala Lumpur #lencana pangkat #majlis keagamaan #Mazlan Lazim #memiliki secara haram #PDRM #penyamaran #peralatan polis #PKKKLS #polis #siasatan #Taman Wahyu #tangkap #vest keselamatan
;