Lelaki meninggal dunia selepas bergaduh kerana baja
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 24, 2022 04:51 MYT
Oktober 24, 2022 04:51 MYT
PARIT BUNTAR: Seorang lelaki meninggal dunia selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang leĺaki yang dikenalinya di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ekoran dari itu polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah berhampiran, kira-kira 6 petang.
Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dibuat di rumah suspek yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Katanya, hasil soal siasat awal ke atas suspek, lelaki itu mengaku telah bergaduh dengan mangsa di tempat kejadian di mana suspek ketika itu sedang dalam perjalanan ke rumah kawannya dengan menunggang motosikal.
“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa telah menahan suspek di tengah jalan dan terus mencekak baju dan menumbuk suspek namun suspek sempat mengelak dan terkena sedikit di bahagian pipi.
“Suspek kemudian bertindak membalas dengan menumbuk mangsa pada bahagian hidungnya dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga kedua-dua mereka jatuh ke dalam tali air berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Menurutnya, setelah naik ke darat, beberapa penduduk kampung yang lalu di situ telah meleraikan pergaduhan tersebut dan suspek beredar pulang ke rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, menurut saksi kejadian mangsa dikatakan tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri berdekatan motosikal miliknya.
Mohd Yusri berkata, punca pergaduhan dipercayai disebabkan mangsa menuduh suspek mencuri baja miliknya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan lelaki itu positif dadah jenis methampethamine.
Semakan rekod mendapati suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Parit Buntar, pagi ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.