Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Baling

Adie Sufian Zulkefli
Mac 5, 2024 17:33 MYT
Mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika melakukan pendakian gunung bersama rakan. - Foto JBPM
BALING: Pasukan Bomba dan Penyelamat Baling berjaya menurunkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Baling, di sini pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.13 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Osman Awang Besar tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengarahkan jentera BBP Baling ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
"Setibanya di lokasi, didapati mangsa berusia 39 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas gunung dan tidak dapat turun ke kaki Gunung Baling.
"Mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika melakukan pendakian gunung bersama rakan dan anggota bomba melakukan pendakian ke lokasi mangsa berada.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Jamil berkata, operasi turut disertai pihak polis, hospital dan malim gunung.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#lelaki meninggal dunia #daki Gunung Baling #bomba Baling #tidak sedarkan diri
;