Lelaki meninggal dunia ketika memukat ikan
Sinar Harian
Januari 1, 2022 05:48 MYT
Januari 1, 2022 05:48 MYT
KEMAMAN: Hasrat seorang lelaki untuk membawa pulang hasil tangkapan ikan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika memukat berhampiran kawasan ladang sawit yang dinaiki air, dekat Ladang Rakyat Mak Lagam, di sini, pada Sabtu.
Difahamkan, mangsa, Saiful Anuar Mustaffa, 39, keluar ke ladang sawit berkenaan bersama adik iparnya, Tuan Zamri Tuan Din, 24, serta seorang rakan, Hafizuddin Rawi, 27, untuk memukat ikan kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurut Tuan Zamri, ketika sedang mengangkat pukat mangsa sempat mengadu kesejukan dan mahu naik ke darat sebelum kepala mangsa dilihat tersembam ke dalam air.
"Ketika itu saya berada kira-kira 40 meter daripada mangsa dan air di kawasan berkenaan pada paras pinggang. Kami menggunakan pelampung sebagai tempat bergantung untuk berenang.
"Tidak sampai lima minit kemudian saya panggil nama arwah namun tidak menyahut. Sebaik berpaling saya nampak kepalanya telah tersembam ke dalam air manakala badannya masih bergantung pada pelampung," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut Tuan Zamri, sebaik membawa mangsa ke darat dia segera menghubungi keluarga untuk menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Cheneh malangnya pegawai perubatan memberitahu mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mustaffa Muda, 61 berkata, perancangan anaknya bersama isteri, Tuan Idawati Tuan Din, 37, membuat kejutan hari lahir untuk anak tunggal mereka, Nor Syazliana Idayu, 15, pada petang Sabtu tidak kesampaian.
Ujarnya, majlis sambutan hari lahir yang pada mulanya dirancang untuk diadakan di Felda Neram 2, disini bersama ahli keluarga bertukar menjadi majlis pengebumian dan tahlil.
"Sudah kebiasaan mereka sambut hari lahir anak. Tetapi kali ini, mereka mahu buat kejutan dengan menyambutnya di kampung dan menjemput ahli keluarga yang lain.
"Mereka juga telah membuat kek dan menempah pulut kuning. Malangya apa yang dirancang tidak kesampaian dan hari ini (Sabtu) adalah hari terakhir bersama arwah," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Cheneh Baru, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas kira-kira jam 9.18 pagi sebelum menggerakkan 10 anggota bersama water tender dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
"Apabila tiba di lokasi terdapat tiga lelaki dimana salah seorang telah lemas.
"Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Cheneh oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian