Lelaki mengamuk tikam kakak ipar direman

Umavathi Ramayah
Disember 26, 2020 15:59 MYT
Amihizam Abdul Shukor berkata, Majistret membenarkan permohonan reman selama tuh hari ke atas suspek. - Gambar hiasan
SUBANG JAYA: Seorang lelaki Myanmar yang mengamuk sebelum bertindak menikam kakak iparnya hingga mati di sebuah apartmen di USJ 7 di sini, pada Jumaat direman tujuh hari sehingga 1 Januari depan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini.
"Majistret meluluskan permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Amihizam menjangkakan bedah siasat akan dilakukan esok selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam Jumaat, mangsa yang merupakan seorang pekerja kilang maut ketika cuba meleraikan pergaduan antara suspek dan isterinya.
Suspek dipercayai bertengkar dengan isterinya yang juga adik mangsa kerana tidak menyediakan makanan yang mencukupi.
Ketika mangsa cuba meleraikan pergaduan itu selepas melihat suspek yang mabuk bertindak menarik rambut dan menumbuk kepala isterinya.
Apabila mangsa cuba menenangkan suspek, lelaki itu terus menikam bahagian belakang badan mangsa dengan sebilah pisau sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun suspek berjaya ditahan kira-kira satu jam kemudian di bawah blok rumahnya dan polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan lelaki itu.
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan #membunuh #Myanmar #warga asing #menikam #mengamuk #bunuh #Superintendan Amihizam Abdul Shukor #Subang Jaya
;