Lelaki mengamuk disuruh tidak merokok, ugut bakar stesen minyak di Chukai

Sharom Abu Bakar
Mei 22, 2019 07:00 MYT
Suspek (kiri) bertindak menghayunkan pam minyak tersebut kepada orang ramai yang cuba untuk menangkapnya. - Foto Astro AWANI
Pengguna di sebuah stesen minyak di bandar Chukai, Kemaman, Terengganu gempar apabila seorang warga Bangladesh yang dipercayai mabuk bertindak cuba membakar stesen minyak pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira - kira jam 9.30 malam itu, warga asing yang berusia lingkungan 30-an itu dikatakan berang selepas ditegur oleh orang ramai kerana hendak menyalakan sebatang rokok di stesen minyak berkenaan.
Suspek kemudiannya bertindak menghayunkan pam minyak tersebut kepada orang ramai yang cuba untuk menangkapnya.
Beberapa pengguna yang berada di lokasi kemudiannya bertindak melarikan diri selepas suspek mengeluarkan pemetik api dan mengugut untuk membakar stesen minyak itu.
Bagaimanapun warga asing itu berjaya diberkas orang ramai selepas hampir setengah jam mengamuk.
Suspek kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis daerah kemaman untuk tindakan lanjut.
#API #bakar stesen minyak #Bangladesh #Chukai #Kemaman #lelaki mengamuk #merokok #stesen minyak #terengganu
;