Lelaki mengaku tidak sengaja bunuh ibu kandung

Abd Hadi Che Awang
Januari 25, 2021 06:38 MYT
Mohammad Shazril (berbaju biru)membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang pekerja syarikat pembersihan mengaku bersalah atas tuduhan tidak sengaja membunuh ibu kandungnya yang berusia 64 tahun pada Mei tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Shazril Aiman Sharif, 22, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Azman Abu Hassan, di sini pada Isnin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak sengaja membunuh ibu kandungnya sendiri, Jamilah Mat, 64, di Kampung Kurnia Jaya, Bedong sekitar jam 7.45 malam pada 26 Mei tahun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 304(B) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum sepuluh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Azman Abu Hassan kemudian menetapkan 8 Febuari 2021 depan bagi tarikh menjatuhkan hukuman keatas tertuduh.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan keatas tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#Sungai Petani #tuduhan bunuh #bunuh #Mahkamah Sesyen