Lelaki mengaku tidak bersalah sebabkan kematian suspek samun
Adie Sufian Zulkefli
Mac 27, 2024 12:45 MYT
Mac 27, 2024 12:45 MYT
ALOR SETAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian ke atas salah seorang suspek yang cuba merompaknya, minggu lalu.
Tertuduh, Han Boon Hau, 33, yang bekerja di kedai aluminium bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29 tahun, dengan melakukan satu perbuatan yang gopoh atau cuai yang tidak terjumlah dengan kesalahan mematikan orang dengan salah.
Kesalahan dilakukan di belakang bangunan BSN Kuala Kedah, Kota Setar pada pukul 6.39 pagi, 19 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha sementara tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong.
Banusha memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000, namun peguam merayu jaminan paling minima kerana tertuduh yang sudah berkahwin mengalami masalah kesihatan serta berpendapatan hanya RM1,200 sebulan.
Siti Norhidayah kemudian menetapkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Mohd Shazwan Idzauddin bersama dua lagi tertuduh, Muhammad Zaki Zabani Osman, 28 tahun, dan Zazimi Hamid, 41 tahun, didakwa cuba merompak Han secara berkumpulan.
Muhammad Zaki Zabani dan Zazimi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama cuba melakukan rompakan berkumpulan ke atas wang ringgit milik lelaki itu di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah, pada tarikh dan waktu yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula.