Lelaki mengaku tidak bersalah hina Agong

Abd Hadi Che Awang
Jun 22, 2020 11:57 MYT
Muhammad Shammir Sam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Agong. -Foto Astro AWANI
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Sesyen Kulim, pada Isnin.
Tertuduh, Muhammad Shammir Sam, 23, yang bekerja sebagai operator kilang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menerusi aplikasi Facebook menggunakan laman profil "Mohd Syamir Sam" didakwa secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 4 Mac lalu sekitar jam 1 tengah hari.
Tertuduh yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Musyiri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh juga diperintah melapor diri setiap dua minggu sekali di Balai Polis berdekatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh seorang individu pada 4 Mac lepas selepas tidak berpuas hati terhadap rakam layar yang dibuat tertuduh berhubung satu kenyataan berbaur penghinaan terhadap YDPA.
#Facebook #hina Agong #Kulim #mahkamah #Mahkamah Sesyen #penjara #polis #Yang di-Pertuan Agong
;