Lelaki mengaku tidak bersalah hantar gambar lucah melalui WhatsApp

Adie Sufian Zulkefli
April 16, 2023 14:51 MYT
Muhammad Zakir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp pada 2021.
Muhammad Zakir Ramli, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita berusia 29 tahun pada ketika itu, dengan niat menyakiti hati jam 7.30 pagi pada 20 Mei 2021 hingga 3.02 pagi pada 28 Mei 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.
Muhammad Zakir yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu kepada mahkamah agar jumlah jaminan yang lebih rendah diberikan kerana bekerja sambilan dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan, dan perlu menyara isteri serta seorang anak berusia setahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.
#komunikasi lucah #hantar gambar lucah #WhatsApp #Mahkamah Alor Setar
;