Lelaki mengaku tidak bersalah dera tujuh anak dan pukul isteri

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 11, 2022 16:58 MYT
Muhamad Faizal yang bekerja sebagai pembantu peniaga pasar awam, didakwa di dua mahkamah berasingan atas tujuh pertuduhan. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera tujuh anaknya yang berusia lima hingga 14 tahun antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Muhamad Faizal Abdul Kudus, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Hakim, Norsalha Datuk Hamzah di Mahkamah Sesyen hari ini.
Tertuduh, yang bekerja sebagai pembantu peniaga pasar awam, didakwa di dua mahkamah berasingan atas tujuh pertuduhan tersebut.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.
Semasa prosiding, Rais Imran tidak bercadang menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan bimbang keselamatan mangsa serta saksi.
Namun, Md Yusuf memohon jaminan dalam jumlah rendah kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,200 sebulan selain menghidap penyakit diabetis dan darah tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi tujuh pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan serta dilarang tinggal serumah dengan semua mangsa.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Ummu Nabilah Md Ehwan yang juga warga Singapura pada bahagian leher dan badan.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Faizal didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit pangsapuri Mutiara Idaman, Solok Tengku Jelutong di sini antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun jika disabitkan bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan syarat tidak boleh mendekati atau mengganggu pengadu.
Sebutan semula kesemua pertuduhan ditetapkan 11 Februari depan.
#dera anak #dera isteri #Mahkamah Sesyen Butterworth #Faizal Abdul Kudus
;