Lelaki mengaku tidak bersalah bakar pondok polis
Muhafandi Muhamad
September 22, 2021 13:57 MYT
September 22, 2021 13:57 MYT
KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap pertuduhan membakar Pondok Bit Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jelawat, Bachok, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit PDRM bertempat di Pondok Bit PDRM di Jelawat, Bachok, jam 2.20 pagi, pada 11 September 2021.
Mohd Zamri didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fariz Abd Ghani dan tertuduh diwakili peguam bela, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.
Terdahulu, Fariz dalam pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon satu tarikh untuk serahan dokumen.
Bagaimanapun, Syed Muhammad Syafiq memohon satu jumlah jaminan yang minimum kerana tertuduh yang masih bujang hanya bekerja sebagai buruh dengan gaji RM60 sehari serta menanggung seorang ayah yang sudah uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.