Lelaki mengaku salah pecah rumah, mencuri, dipenjara enam tahun

Abd Razak Mohd Ali
Julai 4, 2022 16:08 MYT
Mohamad Ailuddin Akif dibawa ke lokap selepas mengaku salah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Taiping pada Isnin. - Foto Astro AWANI
TAIPING: Seorang lelaki yang melarikan diri dari kawalan polis dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada Isnin selepas mengaku salah atas tuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Ailuddin Akif Alluvi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah melakukan pecah rumah dan mencuri dua telefon bimbit, sebuah komputer riba, wang tunai RM3,000, seutas rantai tangan dan leher serta empat cincin, kesemuanya dianggarkan RM12,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Redang Panjang, Ijok, Batu Kurau antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang, 21 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh yang baru keluar penjara Mac lalu, turut didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama yang ketika itu ditahan secara sah bagi kesalahan jenayah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Masjid Mohd Ali Raouse, Kampung Ulu Sepetang, Taiping, kira-kira jam 8.05 pagi pada Rabu lalu.
Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Mohamad Khairul Fathi Mohamad Khir.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#pecah rumah #Mencuri #lari dari polis #Taiping
;