Lelaki mengaku rogol remaja bawah umur hingga lahirkan anak

Sinar Harian
Julai 31, 2024 10:45 MYT
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun di rumahnya antara Ogos hingga November 2022. - Foto Sinar Harian
MUAR: Seorang pekerja syarikat pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di rumahnya di sini pada 2022.
Tertuduh, Muhammad Zuladha Ferhad Zuraini, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun di rumahnya di sini antara Ogos hingga November 2022.
Untuk itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa baru mengenali tertuduh kira-kira seminggu melalui seorang rakan sebelum keluar bersama-sama menaiki motosikal.
Sepanjang perkenalan itu, tertuduh membawa mangsa pulang ke rumah ketika ketiadaan ahli keluarga untuk melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh terbongkar apabila mangsa pening dan pengsan di sebuah tapak ekspo di bandar ini pada Disember lalu.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan pemeriksaan doktor mendapati dia hamil 14 minggu ketika itu.
Satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 17 Disember 2022 dengan tertuduh ditahan tiga hari kemudian.
Selain itu, mangsa dilaporkan sudah melahirkan anak pada 12 Jun tahun lalu, namun bayi berkenaan diserahkan kepada orang lain.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pekerja syarikat pembersihan #mengaku rogol remaja #lahirkan anak #Muar