Lelaki mengaku cederakan bapa guna kerusi plastik
Abd Razak Mohd Ali
Mei 27, 2024 11:00 MYT
Mei 27, 2024 11:00 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan kerusi plastik, Khamis lalu.
Tertuduh, Ahmad Zikri Harun, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas bapa yang berumur 74 tahun dengan menggunakan kerusi plastik yang jika diguna sebagai senjata untuk menyerang, mungkin menyebabkan kematian.
Dia yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Batu 3, Jalan Kuala Rui, Gerik kira-kira jam 8 malam, 23 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang warga emas cedera dipukul anak lelakinya yang menuduh mangsa mencuri wang ketika berada di rumah mereka di Jalan Kuala Rui, Gerik, pada Khamis malam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek memukul bapanya yang berusia 74 tahun menggunakan kerusi ketika mangsa sedang berbual dengan anak saudaranya di kawasan luar rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian ialah suspek menuduh bapanya telah mengambil wang sebanyak RM1,500.