Lelaki menangis terlepas hukuman gantung
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 7, 2021 21:21 MYT
Januari 7, 2021 21:21 MYT
GEORGE TOWN: Seorang lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah lebih dua tahun lalu.
Mohd Amiruddin Mazlan, 31, hanya mampu menangis sebagai tanda kesyukuran selepas Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid mengarahkan dia dibebaskan.
Mohd Radzi ketika membacakan keputusan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Katanya, adalah tidak munasabah untuk seseorang yang mempunyai dadah jenis heroin hanya berdiam diri sahaja tanpa melarikan diri sehingga dia ditangkap.
Mohd Radzi berkata, terdapat sebuah motosikal yang berada pada jarak kira-kira 50 meter dari tertuduh yang memberi peluang kepadanya untuk melarikan diri.
Tertuduh yang merupakan bapa kepada seorang anak itu didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 18.9 gram.
Dia yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan itu di Tepi Jalan Lintang Merah, Sungai Nibong, Pulau Pinang pada, 10.45 malam, 23 Oktober 2018.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan.
Selain itu, Mohd Radzi berkata, adalah tidak munasabah juga pasport tertuduh disimpan di dalam beg yang mempunyai dadah.
Tertuduh diwakili peguam, S Retinakumar dan S Tamil manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee.
#terlepas hukuman gantung
#menangis
#mengedarkan dadah
#mahkamah
#George Town
#bapa
#tidak munasabah
#melarikan diri
#melepas
#membebaskan