Lelaki menangis selepas didakwa hempuk bapa dengan topi keledar

Shuhada Abdul Kadir
Januari 19, 2023 15:15 MYT
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun dilihat menangis dan merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis. - Gambar hiasan
MELAKA: Tindakan seorang lelaki memukul bapanya menggunakan topi keledar sehingga cedera kerana berang disuruh berdikari, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Tertuduh, C. Kaviarasan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan topi keledar terhadap bapanya S. Chandran, 58, di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas, Melaka Tengah kira-kira pukul 7 pagi, 12 Januari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 236a akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Difahamkan tertuduh bertindak memukul bapanya menggunakan topi keledar selepas berang disuruh berdikari dan mencari tempat tinggal sendiri.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan sebanyak rm20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun dilihat menangis dan merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis.
Darmafikri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 22 Februari ini sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.
#Mahkamah Sesyen #C Kaviarasan #S Chandran #sengaja mendatangkan cedera menggunakan topi keledar
;